Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah
bemula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin
pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin
meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta
Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang
sedia berjalan. Hasil daripada itu timbullah idea untuk menubuhkan pusat
pendidikan prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya diberi nama
TADIKA ISLAM.
Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program
ini ialah Kedah dan Terengganu. Namun di sana terdapat sesuatu yang
menarik daripada segi pengasasan, pengolahan dan pengendalian
pusat-pusat berkenaan, suasana di mana berlakunya persefahaman antara
jamaah Islam khususnya Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan ini kepada
ABIM. Seawal tahun 1980 telah lahirnya pusat-pusat pendidikan prasekolah
Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).
Di Terengganu pada tahun 1985 TASKI dikendalikan oleh
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu. Manakala di Kelantan pusat
prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam dikendalikan oleh Dewan
Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.
Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di
sebelah utara telah wujud pusat-pusat prasekolah yang diberi nama Pusat
Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda Pas
negeri masing-masing. Pada tahun 1988 hasil daripada penyelarasan semula
semua TASKI yang dikelolakan oleh ahli-ahli PAS. Tanggal 10 April 1987
Dewan Pemuda PAS Pusat melalui muktamar Tahunan ke-28 telah meluluskan
usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk
anak-anak ahli PAS.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat
yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI
untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang
dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat
Pusat diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan PASTI.
Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar
Prasekolah di Masjid Rusila Marang Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan
Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dbentangkan iaitu “Struktur
Organisasi dan Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan
“Penyelarsan Manhaj Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz
Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat
yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama saudara Haji Mohd Najib Fahami
Haji Yahya sebagai sebagai Timbalan Ketua Pengarah, saudara Ishak Ismail
sebagai Setiausaha dan saudara Noh Ahmad sebagai Bendahari serta
Pengarah-Pengarah PASTI Negeri sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.
Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan
Pemuda PAS Pusat telah megarahkan semua PASTI menggunakan logo baru
yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja
Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI
yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.
PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan
zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan penambahan kelas-kelas di
seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan
Wilayah Persekutuan.
No comments:
Post a Comment