Merancang lebih
awal dan pastikan kita memberikan masa yang secukupnya untuk anak
beralih dari satu aktiviti ke satu aktiviti yang lain. Kebanyakan
kanak-kanak lebih berdisiplin jika mereka tahu rutin harian mereka.
Contohnya, ajak
anak-anak untuk buat jadual harian yang lengkap dan tampalkan di
dinding. Ambil kira juga pendapat mereka dan jelaskan supaya mereka
faham. Katakan waktu mandi adalah pada pukul 6 petang. Aktiviti sebelum
mandi ialah bermain di luar rumah. Ibu atau bapa seharusnya memberi
cukup masa untuk anak beralih dari aktiviti bermain di luar kepada
aktiviti mandi dan ingatkan mereka tentang masa. Ibu bapa jangan jemu
menjadi ‘alarm clock’ kepada anak-anak kecil kerana mereka belum
memahami konsep masa, mudah lupa, lebih mudah terpengaruh dan ralit
dengan sesuatu aktiviti yang menyeronokkan.
“Syafiq, Asyraf, lagi 15 minit adalah waktu untuk mandi”
15 minit kemudian,
“Dah pukul 6 petang, Syafiq dan Asyraf boleh masuk dan mandi sekarang”
Jika anak-anak
masih tidak memperdulikan dan terus bermain, hampirilah mereka dan
ingatkan mereka tentang jadual yang mereka buat. Ambil segala yang
membuatkan mereka ralit bermain. Sekiranya mereka protes, ibu atau bapa
boleh cuba gunakan kreativiti untuk mengajak mereka masuk dan mandi.
“Syafiq dan
Asyraf boleh bermain lagi esok. Sekarang waktu mandi. Syafiq dan Asyraf
boleh melompat macam katak untuk masuk ke bilik air. Kita tengok siapa
sampai dulu”
Jika
anak membuat kesilapan jangan terus marah-marah. Berikan mereka peluang
kedua. Ini adalah satu peluang yang besar untuk mereka mempelajari
nilai bersemangat kental, tidak berputus asa dan berani mencuba sekali
lagi. Jika ibu bapa asyik menengking ketika anak membuat salah, selain
mereka tidak berani mencuba lagi, self esteem dan keyakinan diri mereka
juga akan menurun dan yang paling buruk jika anak-anak menyimpan dendam
kepada ibu bapa.
Meminta anak
melakukan sesuatu dengan cara berjenaka bukan saja menyeronokkan malah
ia lebih mudah mendapat kerjasama daripada mereka. Gunakan kreativiti
untuk membuat jenaka ketika meminta anak melakukan sesuatu. Contohnya,
ibu bapa boleh menggunakan binatang mainan seperti itik plastik.
“Kuek..kuek..dah pukul 6 petang. Itik nak mandi. Asyraf dan Syafiq, jom mandi sekali dengan itik..kuek..kuek”
Ketawa, gembira, dan keseronokan menggalakkan tingkah laku dan kelakuan yang positif.




No comments:
Post a Comment