SUMBER: PASTI MALAYSIA
Pencapaian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) kini menjadi perhatian
banyak pihak termasuk oleh pihak kerajaan Malaysia. Ketua Pengarah PASTI
Malaysia, Hassan Ahmad berkata, pelbagai pihak termasuk pakar-pakar
pendidikan melawat dan membuat kunjungan ke PASTI untuk meninjau dan
menimba pengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, khususnya
melihat kehebatan dan kejayaan pendidikan di PASTI-PASTI.
Menurut beliau lagi, kurikulum PASTI terbukti terbaik di negara ini
apabila murid-murid lepasan PASTI memperlihatkan pencapaian yang tinggi
dalam ujian Linus di sekolah-sekolah rendah mengatasi tahap kelulusan
kebangsaan. “Banyak pihak kini mohon kerjasama PASTI untuk mengetahui
kepakaran dan pengalaman PASTI kerana PASTI telah berjaya menghasilkan
murid-murid yang pintar soleh di negara ini”, tambah beliau sewaktu
berucap dalam Karnival Alam Ria PASTI Peringkat Kebangsaan 2014 yang
diadakan di Sek Agama At-Tanwiriah, Parit Jawa, semalam.
Beliau menyatakan, dalam masa terdekat ini PASTI Malaysia kini sedang
diperingkat akhir memperkemaskan lagi kurikulum PASTI agar bertaraf
dunia. PASTI juga sedang memperluaskan program Pra-Tahfiz PASTI ke
seluruh negara agar ia berjalan sepenuhnya pada tahun hadapan. Menurut
beliau lagi, PASTI kini telah melebarkan sayapnya ke peringkat
antarabangsa apabila berjaya membuka beberapa buah tadika PASTI di luar
negara.
Sewaktu merasmikan Karnival Alam Ria PASTI ini, ADUN Parit Yaani yang
selaku Pesuruhjaya PAS Johor, YB Aminolhuda Hassan mengucapkan tahniah
atas kehebatan dan kejayaan PASTI, khususnya PASTI-PASTI di negeri Johor
ini. Beliau mengharapkan agar PASTI dapat terus berkembang di negeri
Johor agar lebih ramai rakyat di Johor dapat menghantar anak-anak mereka
ke PASTI-PASTI bagi mendapatkan pendidikan awal berteraskan Islam.
Beliau melahirkan rasa syukur kerana PASTI telah berjaya menjadi pilihan
utama rakyat di negara ini.
Karnival PASTI Malaysia Peringkat Kebangsaan kali ini memperlihat semua
negeri menghantar peserta untuk pertandingan bernasyid, bersajak,
bercerita, hafazan al-qur’an, azan, khutbah, Kalam Jamaiey (choral speaking -Bahasa
Arab) dan pidato. Rata-rata orang ramai yang hadir terpegun dengan
keberanian dan kepetahan murid-murid PASTI seawal usia 4, 5 dan 6 tahun
itu mempersembahkan bakat masing-masing. Negeri Johor telah menjadi
Johan keseluruhan bagi acara-acara yang dipertandingkan pada kali ini.
No comments:
Post a Comment