Pembangunan kanak-kanak merujuk kepada perubahan-perubahan yang berlaku semasa kanak-kanak membesar dan berkembang. Perubahan-perubahan tersebut termasuklah yang berkaitan dengan fizikal, mental, spiritual, emosi dan sosial.
Lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak menjadi asas penting. Ia adalah
asas yang membentuk masa depan mereka. Kajian terbaru mengesahkan
bahawa lima tahun pertama adalah penting untuk perkembangan otak
kanak-kanak itu, dan tiga tahun pertama adalah waktu yang paling
kritikal dalam membentuk otak mereka. Pengalaman awal menyediakan asas
untuk pembangunan organisasi otak yang akan berfungsi pada sepanjang
hidup. Pengalaman awal ini mempunyai kesan langsung kepada bagaimana
kanak-kanak mengembangkan kemahiran pembelajaran mereka serta kebolehan
mereka bersosial dan mengendalikan emosi.
Kanak-kanak belajar dengan lebih cepat pada tahun-tahun awal kehidupan
mereka berbanding dengan masa-masa lain. Mereka memerlukan kasih sayang
dan asuhan untuk membangunkan rasa kepercayaan dan keselamatan yang akan
bertukar menjadi keyakinan diri apabila mereka membesar. Bayi dan
kanak-kanak membesar, berkembang dan belajar dengan cepat apabila mereka
menerima kasih sayang, perhatian, dorongan dan rangsangan mental, serta
makanan yang berkhasiat dan penjagaan kesihatan yang baik.
Memahami peringkat perkembangan kanak-kanak adalah penting. Dengan
memahaminya, ibu bapa tahu bagaimana untuk memberi rangsangan, sokongan
dan dorongan yang terbaik bagi memaksimakan potensi anak-anak. Semua
kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat penjagaan kesihatan, pemakanan
yang baik, pendidikan dan perlindungan daripada bahaya, penderaan dan
diskriminasi. Kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam
persekitaran di mana mereka boleh mencapai potensi maksima dalam
kehidupan mereka.
Justeru, menjadi kewajipan ibu bapa, penjaga, masyarakat dan kerajaan
untuk memastikan bahawa hak-hak ini dihormati, dilindungi dan dipenuhi.









.png)